Friday, March 28, 2008

Novel Minangkabau Sebelum Perang: Kedudukan dan Peranan Lelaki

NOVEL-NOVEL MINANGKABAU SEBELUM PERANG;
KEDUDUKAN DAN PERANAN LELAKI DALAM SISTEM MATRILINEAL




SARJI BIN KASIM





USUL PENYELIDIKAN YANG DIKEMUKAKAN UNTUK MEMPEROLEH IJAZAH DOKTOR FALSAFAH



FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
BANGI


2007


NOVEL-NOVEL MINANGKABAU SEBELUM PERANG;
KEDUDUKAN DAN PERANAN LELAKI DALAM SISTEM MATRILINEAL

1.0 Pendahuluan 03
2.0 Persoalan Kajian 05
3.0 Tujuan Kajian 10
4.0 Kepentingan Kajian 11
5.0 Pendekatan Kajian 13
6.0 Kajian Lepas 19
7.0 Metodologi Kajian 24
8.0 Hipotesis 32
8.0 Kaedah Kajian 33
9.0 Organisasi Kajian 35









NOVEL-NOVEL MINANGKABAU SEBELUM PERANG;
KEDUDUKAN DAN PERANAN LELAKI DALAM SISTEM MATRILINEAL

1.0 Pendahuluan

Pada tahun 1920 – 1941 golongan lelaki Minangkabau telah dapat menempatkan dirinya dalam kedudukan yang tinggi dalam pelbagai bidang misalnya sebagai ulamak, negarawan, wartawan, seniman, dan sebagainya. Lelaki Minang yang telah mencipta nama dalam bidang masing-masing termasuklah termasuklah Bung Hatta, Muhammad Natsir, Hamka, dan sebagainya[1]. Keunikan istimewa yang ada pada lelaki Minangkabau pada masa itu ialah mereka bukan sahaja profesional dalam bidang yang diceburi bahkan mereka juga turut terlibat dalam bidang lain. Mengambil beberapa nama misalnya Mohammad Yamin, Roestam Effendi dan Asrul Sani bukan sahaja terkenal sebagai negarawan tetapi juga sebagai sasterawan. Dalam bidang penulisan, Mohammad Yamin dan Roestam Effendi misalnya terkenal sebagai seorang penyair manakala Asrul Sani terkenal sebagai pelopor dalam bidang penulisan cerpen. .[2]
Pada tahun 1920 – 1941 pengarang Minangkabau lebih terserlah memberikan sumbangan yang besar dalam bidang penulisan novel dan menghasilkan pengarang paling ramai di Indonesia pada waktu itu. Pengarang novel Minangkabau yang terpenting dalam dalam tahun 1920an ialah Marah Rusli, Abdul Muis, Nur Sutan Iskandar, Swan Pen, Tulis Sutan Sati, dan A. St. Pamuntjak. Pengarang penting dalam tahun 1930an ialah Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), Habib St. Maharadja, M. Enri dan Ardi b Soma. Hampir kesemua pengarang-pengarang ini terdiri daripada golongan lelaki. Mereka ini boleh dianggap sebagai perintis perkembangan penulisan novel di Indonesia.
Di sebalik itu, realiti masyarakat Minang juga masyarakat yang didominasi oleh prinsip matrilineal yang memberi kedudukan yang lebih istimewa kepada wanita. Kedudukan lelaki di Minangkabau sangat unik berbanding dengan lelaki yang mengamalkan sistem patrilineal. Salah satu keunikan tersebut ialah golongan lelaki tidak mempunyai hak warisan atas pusaka dan golongan yang berhak menerimanya ialah golongan perempuan. Golongan lelaki juga tidak menurunkan keturunan kepada anaknya sendiri melainkan kepada anak saudaranya yang perempuan atau kemenakan. Ini bermakna seorang ayah berada di luar keluarga anak dan isterinya. Seorang suami dalam keluarga Minangkabau dianggap keluarga lain dari keluarga isteri dan anaknya. Hal inilah yang menyebabkan seorang laki-laki setelah berkahwin dia tinggal di rumah isterinya (Kato 1989 ; 54)
Menurut Umar Yunus (1975 ; 243) sifat kekeluargaan inilah yang biasanya dianggap sebagai salah satu unsur yang mewujudkan identiti kepada kebudayaan Minangkabau, terutama yang dipopularkan melalaui novel-novel sebelum perang. Pada masa itu, ramai penulis yang berasal dari Minangkabau menggunakan tema kehidupan masyarakat dengan sistem matrilineal di dalam hasil-hasil karya mereka. Bertolak daripada latar belakang tersebut, wajar sekali diteliti secara cermat kedudukan dan peranan sebenar lelaki dalam sistem matrilineal.

1.2 Persoalan Kajian

Dalam semua lapisan masyarakat, lelaki mempunyai kedudukan dan peranan masing-masing. Kedudukan dan peranan tersebut dapat dilihat berdasarkan peranannya sebagai ketua keluarga, menurunkan keturunan, pendidik, penjana ekonomi keluarga, penasihat, pemimpin masyarakat, pengawal keselamatan dan kesihatan keluarga. Peranan ini juga dapat dilihat dalam masyarakat yang mengamalkan sistem matrilineal iaitu masyarakat Minangkabau. Gambaran ini cuba diteliti berdasarkan novel yang ditulis oleh pengarang Minangkabau.
Bersesuaian dengan tajuk tesis, “Novel-novel Minangkabau Sebelum Perang; Kedudukan dan Peranan dalam Sistem Matrilineal”, maka persoalan yang akan dikupas dalam kajian ini ialah berkaitan dengan kedudukan dan peranan lelaki Minangkabau. Kajian ini mahu menjelaskan bagaimana kedudukan dan peranan lelaki dalam masyarakat yang mengamalkan sistem matrilineal sebagaimana yang dipaparkan dalam novel-novel pengarang Minangkabau sebelum Perang Dunia Kedua. Tegasnya, dalam kajian ini informasi yang berkaitan dengan kedudukan dan peranan lelaki Minangkabau akan dikaji sebagaimana yang terdapat dalam novel.
Dalam sistem adat yang berlandaskan sistem matrilineal wanita sering ditonjolkan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyaraakat Minangkabau. Sebaliknya, golongan lelaki dalam pandangan umum masyarakat dianggap tidak penting. Gambaran tersebut juga terdapat dalam novel-novel Minangkabau sebelum perang. Kajian ini mahu menjelaskan bahawa lelaki tetap penting dalam masyarakat yang mengamalkan sistem Matrilineal. Kedudukan dan peranan ini dapat dilihat melalui novel-novel yang dihasilkan oleh pengarang..
Pengarang lazimnya mempunyai pemikiran, gagasan dan pandangan yang lebih tajam dalam memaparkan realiti masyarakat. Dengan meneliti novel-novel yang dihasilkan oleh pengarang Minangkabau, maka kedudukan dan peranan lelaki dalam masyarakat Minangkabau akan dapat dikaji. Novel merupakan salah satu bentuk karya yang terjadi dalam konteks sosial dan merupakan sebahagian dari hasil kebudayaan. Apa yang dipaparkan di dalam novel memang tidak pernah terjadi sebab ia hanyalah khayalan penulis , tetapi hal tersebut dapat pula ada atau benar-benar terjadi
Hal ini disebabkan novel memaparkan situasi sosial yang ada. Seterusnya, dapat menentukan kemungkinan dinyatakan nilai-nilai estetika, tetapi tidak secara langsung menentukan nilai-nilai itu sendiri (Wellek & Warren, 1990; 127). Nilai-nilai estetika di dalam penciptan sastera sangat ditentukan oleh kode budaya, kode bahasa dan kode sastera. Dengan memahami kode-kode tersebut unsur-unsur estetika tersebut dapat ditentukan. Dengan demikian, setiap orang membaca cerita rekaan dimungkinkan bukan sahaja membaca cerita khayalan tetapi juga menunjukkan sisi kenyataan (Sumardjo & Seini K.M., 1997; 36). Berangkat dari spesifikasi, karekteristik dan muatannya, novel mampu mempunyai daya tarik tersendiri bagi pembaca. Keistimewaan ini menarik untuk dijadikan bahan kajian dalam penelitian ini.
Pendeskripsian kedudukan dan peranan lelaki dalam masyarakat Minangkabau dapat dilihat berdasarkan kepada empat kategori iaitu peranannya dalam institusi keluarga, penjana ekonomi keluarga, sebagai agen perubahan pemikiran masyarakat dan peranan dalam kepimpimpinan. Dalam institusi keluarga, kedudukan dan peranan lelaki dapat dilihat berdasarkan kedudukannya sebagai ayah, mamak, suami, abang dan adik. Kedudukan ayah di rumah isterinya yang dianggap sebagai orang semenda juga akan dijelaskan dalam kajian ini. Dalam budaya Minangkabau mempunyai panggilan yang khusus berkaitan dengan kedudukan dan peranan orang semenda misalnya rang sumando lapaiah buruk, rang sumando langau hijau, rang sumando bapak paja dan rang sumando niniak mamak. Pembahasan tentang peranan watak lelaki tidak dapat dilakukan tanpa menyoroti watak perempuan. Perwatakan muncul atas dasar peranan yang difungsikan pengarang kepada watak tersebut. Pembicaraan peranan hanya dapat dilakukan jika dihubungkan dengan pasangan atau lawan peranan tersebut. Misalnya peranan sebagai ayah tidak akan menonjol jika tidak dikaitkan peranan anak sebagai lawannya atau dengan peranan ayah sebagai pasangannya. Oleh sebab itu, dalam membicarakan watak lelaki, watak perempuan juga tetap mempunyai hubungan.
Peranan utama lelaki ialah sebagai penjana ekonomi keluarga. Ciri-ciri lelaki Minangkabau menurut perspektif adat Minangkabau ialah mencari kekayaan untuk isteri dan kemenakannya sebagaimana yang sudah ditentukan dalam adat. Untuk mendapatkan kekayaan itu mereka terpaksa merantau sebab situasi di kampung tidak memungkinkan mereka memperoleh apa yang menjadi impian dalam kehidupan mereka. Sewaktu mereka hidup di rantau mereka terdedah dengan kehidupan baru disebabkan lingkungan dan pengalaman yang berbeza. Walaupun demikian, mereka mempunyai hubungan yang masih erat dengan kampung halamannya.
Dalam kajian ini, pengkaji akan menjelaskan bahawa lelaki berperanan sebagai agen perubahan masyarakat. Pada awal abad ke-20 ramai lelaki Minang telah mendapat pendidikan tinggi sama ada pendidikan Barat atau pun pendidikan agama. Berdasarkan pengalaman dan pendidikan yang diperolehinya mereka telah dapat menempatkan dirinya sebagai agen perubahan pemikiran masyarakat. Perubahan ini termasuklah berkaitan dengan kedudukan dan peranan perempuan Minangkabau yang belum mendapat tempat sewajarnya dalam kehidupan mereka misalnya dalam institusi keluarga dan juga di luar keluarga. Perempuan sering dimanipulasi oleh golongan lelaki demi kepentingan lelaki itu sendiri. Selain itu, pada masa yang sama ada juga golongan perempuan yang menganiaya sesama mereka dengan berbagai alasan yang tertentu. Pada waktu itu perempuan tidak dapat berbuat apa-apa bahkan mereka hanya menyerahkan kepada nasib. Hal ini disebabkan ruang gerak mereka sangat sempit dan terbatas (domestic domain) berbanding laki-laki yang mempunyai ruang gerak tanpa batas (wilayah publik/’public domain’). Berdasarkan pernyataan ini, kaum lelaki telah berusaha untuk mewujudkan “persamaan dan kesetaraan” antara laki-laki dan perempuan. Persoalan ini dapat dilihat dalam novel-novel kajian tentang adanya kesedaran lelaki yang bertindak sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Tindakan lelaki sebagai agen perubahan dapat dilihat terutama tentang kedudukan perempuan. Menurut analisis gender, ketidakadilan gender dapat diidentifikasikan melalui berbagai manifestasi misalnya marjinalisasi (proses kemiskinan ekonomi), subordinasi (anggapan perempuan tidak penting), pelabelan negatif (stereotype), kekerasan (violence) dan beban kerja ganda (dauble burden). Gambaran ini dapat dilihat berdasarkan perspektif pengarang melalui peranan dan tindakan yang dilakukan oleh watak lelaki.
Dalam bidang kepimpinan pula, dapat dilihat bagaimana golongan lelaki memainkan peranan masing-masing. Bentuk kepimpinan ini dapat dapat dilihat dalam aspek kepimpinan yang berteraskan kepimpinan tradisional di Minangkabau yang dikenali sebagai “Tungku Tiga Sajarangan, Tali Tigo Sapilin” iaitu ninik mamak pemangku adat, alim ulama dan cerdik pandai. Ninik mamak pemangku adat mempunyai peranan dalam permasalahan adat yang terjadi dalam masyarakat, alim ulama berperanan dalam dalam kepimpinan yang bersifat ugama manakala cerdik pandai (guru) yang berperanan dalam masyarakat . Golongan yang bergabung dalam kategori ‘cadiak pandai’ pada asasnya mempunyai kelebihan dari masyarakat umum terutama kemampuan intelektual mereka sendiri (Herman Sihoming 1983 ; 43) Susunan masyarakat Minangkabau berdasarkan ikatan kekeluargaan dengan suku sebagai kesatuan genealogis didasarkan pada garis keturunan ibu (perempuan). Namun, secara keseluruhan mereka disatukan oleh kesatuan geografis, politik dan pentadbiran yang terdiri dari gabungan luhak, laras, nagari dan suku. Masing-masing mempunyai organisasi pemerintahan sendiri. Pada tingkat suku yang menjadi pimpinan adalah ‘penghulu’ yang dibantu oleh ‘anak buah’ yang bererti orang suruhan. Mereka ini disebut sebagai orang ‘empat jenis, yang terdiri dari penghulu, imam-khatib, mantri dan dubalang (Mansyur 1970).
Penelitian ini dapat dikatakan merupakan penelitian yang mengarah pada kajian gender. Di sisi lain isu gender merupakan wacana yang aktual dan sering dibincang dan kajian ini merupakan salah satu alasan mengapa penelitian ini perlu dilakukan terutama hubungan gender dengan lelaki Minangkabau.
1.3 Tujuan Kajian

Kajian ini mempunyai beberapa tujuan, iaitu;
i) Suatu analisis dan interpretasi tentang kedudukan dan peranan lelaki Minangkabau dalam sistem matrilineal berdasarkan novel-novel Minangkabau sebelum perang.. Analisis dan interpretasi akan menghasilkan pemahaman kepada pembaca tentang kedudukan dan peranan lelaki Minangkabau sebagaimana yang digambarkan dalam novel sebelum perang. Kedudukan dan peranan itu dapat dilihat dalam empat aspek yang utama iaitu dalam institusi keluarga, penjana ekonomi keluarga, agen perubahan pemikiran masyarakat dan peranan dalam kepimpinan. Penilaian akan dibuat apakah lelaki Minang melaksanakan kedudukan dan peranan masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan dalam sistem matrilineal atau telah melanggar atau merombak sistem tersebut.
ii) Membuktikan bahawa terdapat kaitan yang kuat penulisan novel dengan budaya tempatan. Hal ini disebabkan pengarang sangat dekat dengan budaya yang melatarbelakangi kehidupan pengarang. Seterusnya, persoalan budaya dalam masyarakatnya akan diadun dalam proses kreativiti penulisan novel.Pengkaji berasa yakin novel-novel yang ditulis oleh pengarang Minangkabau akan lebih menyerlah memperihalkan berkaitan dengan imej lelaki Minangkabau sebagaimana yang terdapat dalam novel sebelum perang
iii) Melalui kajian ini akan dapat menjelaskan mengapa pengarang ini berkecenderungan untuk memasukkan persoalan kedudukan dan peranan lelaki dalam penulisan mereka. Apakah wujud hubungan sosio budaya yang berada dilingkungannya atau keinginan pengarang itu sendiri yang ingin mengungkapkan keberadaan lelaki dalam lingkungannya.
iv) Kajian ini dapat membuktikan lelaki Minangkabau tetap memainkan mempunyai kedudukan peranan penting dalam sistem adat Matrilineal. Kajian ini dapat menolak hujah-hujah sering diperkatakan dalam pemahaman umum masyarakat yang mengatakan lelaki Minangkabau tidak mempunyai peranan penting dalam masyarakatnya.
v) Dapat mengenali dan menentukan ciri-ciri lelaki ideal menurut perspektif adat Minangkabau. Dengan mengenali dan menentukan ciri-ciri lelaki ideal diharapkan kerukunan hidup sama ada dalam lingkungan keluarga dan masyarakat akan terpelihara.

1.4 Kepentingan Kajian

Masalah sosial yang berlaku pada masa sekarang kebanyakannya berpunca dari lelaki. Masalah tersebut misalnya keganasan rumah tangga, peras ugut, penyalahgunaan dadah, perlumbaan motosikal haram, jenayah seksual, ragut dan sebagainya kebanyakkannya didominasi oleh golongan lelaki. Kajian ini diharap dapat memaparkan imej lelaki yang ideal iaitu lelaki yang bertanggung jawab kepada dirinya sendiri, keluarga dan masyarakat. Atau, setidak-tidaknya lelaki yang tidak membebankan kepada keluarga dan masyarakat. Golongan lelaki dapat menghayati kedudukan dan peranan masing-masing sebagaimana yang sudah ditentukan sama ada dalam aspek budaya dan juga keagamaan. Seterusnya golongan lelaki dapat menghayati nilai-nilai unggul yang perlu dipertahankan dan dijadikan pengajaran dan panduan kepada masyarakat.
Bagi golongan lelaki Minangkabau, dengan memahami peranan dan kedudukannya dalam sistem matrilineal secara mendalam akan memotivasi dirinya dan memberikan inspirasi untuk menjalankan peranannya sebagai lelaki Minang. Dengan harapan ketika lelaki Minang meningkatkan statusnya ia tetap berpijak pada konsep adat Minangkabau sebagai penerus kepada kelangsungan budaya Minangkabau.
Kajian ini diharapkan dapat dapat memberikan perpektif baru tentang kedudukan lelaki dalam adat Minangkabau. Mengikut kefahaman biasa yang difahami oleh masyarakat menggambarkan kedudukan lelaki dalam adat Minangkabau tidak memainakan peranan penting bahkan dianggap tidak mempunyai apa-apa peranan sedangkan lelaki Minangkabau mempunyai peranan yang penting dalam usaha untuk mengukuhkan adat ini.
Kajian ini dapat membetulkan tanggapan masyarakat yang berkaitan dengan kedudukan lelaki Minangkabau seolah-olah dalam sistem adat Matrilineal perempuan mendapat kedudukan istimewa sedangkan lelaki dan perempuan mempunyai peranan dan kedudukan yang sama.
Kajian ini diharapkan dapat mengisi salah satu kekurangan yang yang telah diabaikan oleh para pengkaji hingga ke hari ini iaitu sejauhmana lelaki Minangkabau memainkan peranan penting dalam sistem adat Matrilineal.






1.5 Pendekatan Kajian

1.5.1 Gender dalam Sastera
Kata gender dalam bahasa Inggeris adalah sex, male atau female (Webster’s 1975; 115) yang bermaksud identik dengan jenis kelamin laki-laki dan perempuan. Dengan demikian, gender dapat identikkan dengan jenis kelamin laki-laki dan perempuan.. Perhubungan gender sering membawa persoalan konflik, persoalan kuasa dan persoalan kedudukan serta peranan lelaki mahupun wanita dalam ruang domestik mahupun ruang public (Ooi 2005; 1). Dasar pemikiran dalam penelitian sastera berperspektif gender adalah berkaitan pemahaman kedudukan dan peranan lelaki sebagaimana yang diungkapkan dalam novel. Peranan dan kedudukan lelaki dalam novel-novel Minangkabau sebelum perang akan menjadi fokus pembahasan penelitian sastera
Perbincangan bertolak dari satu teori yang dikenali sebagai teori gender. Gender
adalah perbezaan dan fungsi peranan sosial yang diciptakan oleh masyarakat, serta tanggung jawab lelaki dan perempuan. Gender belum tentu sama di tempat yang berbeza, dan dapat berubah dari waktu ke waktu. Fungsi peranan sosial ini merangkumi aspek bangsa, kelas, etnik, dan jantina. Seks adalah jenis kelamin yang terdiri dari perempuan dan laki-laki yang telah ditentukan oleh Tuhan (Cudd & Andreasen 2005; 115). Ketentuan ini berlaku sejak dahulu lagi, sekarang dan berlaku selamanya. Oleh kerana itu, ia tidak dapat ditukar atau diubah.
Gender bukanlah kudrat ataupun ketentuan Ilahi. Gender berkaitan dengan proses keyakinan bagaimana seharusnya lelaki dan perempuan itu berperanan dan bertindak sesuai dengan tata nilai yang ditetapkan, ketentuan sosial dan budaya ditempat mereka berada. Lizbeth Goodman (1996 ; vii) menegaskan gender adalah;
“.....refers to ways of seeing and representing people and situations based on sex difference. By contrast, ‘sex’ is a biological category: female or male. The term ‘sexuality’ refers to the realm of sexual experience and desire – sometimes it refers to a person’s sexual orientation (as heterosexual, bisekual or homosexual). “Gender” is a social or cultural category, influenced by stereotypes about ‘female’ and ‘male’ behaviour that exist in our attitudes and beliefs. Such belieefs are often said to be “culturally produced’ or ‘constructed”.

Berdasarkan pernyatan ini dapatlah difahamkan bahawa gender adalah perbezaan peranan, fungsi, tanggung jawab antara perempuan dan laki-laki yang dibentuk oleh keadaan sosial budaya dan dapat berubah sesuai dengan perkembangan zaman. Dengan demikian, perbezaan gender dan jenis kelamin (seks) adalah gender; dapat berubah, dapat dipertukarkan, masa, budaya setempat, bukan merupakan ketentuan Tuhan, melainkan ia dicipta oleh manusia. Perbezaan dengan seks adalah tidak dapat berubah, tidak dapat dipertukarkan, berlaku sepanjang masa, berlaku di mana-mana tempat di dunia, dan ia dicipta oleh Tuhan (Momsen 2004; 2). Perbezaan jantina terbina secara sosial meskipun pada kebiasaanya diperlihatkan sebagai semula jadi atau normal. Seks adalah suatu istilah yang digunakan untuk menunjukkan perbezaan biologikal antara lelaki dan wanita, tetapi jantina menandakan perbezaan yang dibina secara sosial yang beroperasi dalam kebanyakan masyarakat dan menjurus ke arah ketidakadilan, penindasan dan penekanan antara jantina itu.
Kedua-dua feminiti (kewanitaan) dan ‘masculinity’ (kelelakian) terbina secara sosial dan dianugerahi dengan pelbagai kualiti, nilai, imej dan naratif yang sentiasa tersebar dalam masyarakat dan yang membentuk dan menentukan sikap manusia dan kehidupan mereka (Momsen 2004 ; 2) Gender bukanlah merupakan konsep barat. Konsep tersebut berasal dari konstruksi lingustik dari berbagai bahasa yang memberi kata sandang tertentu untuk memberikan perbezaan jenis kelamin laki-laki dan perempuan (Lidia Tanaka 2004 ; 13). Konstruksi lingustik ini kemudiannya diambil oleh ahli antropologi menjadi kata yang hanya dapat dijelaskan tetapi tidak ada padanannya dalam bahasa Melayu. Jelasnya gender mengacu kepada peranan dan tanggung jawab untuk perempuan dan laki-laki yang dicipta oleh suatu budaya; jadi bukan jenis kelamin yang mengacu kepada perbezaan ciri biologi.
Gender menjadi isu kerana banyak orang yang tidak memahami antara perbezaan peranan gender dengan perbezaan jenis kelamin. Kesalahan ini timbul kerana hubungan gender yang berbeza antara lelaki dan perempuan. Dalam banyak kes, perlakuan yang tidak adil lebih banyak menimpa perempuan baik di rumah, di tempat kerja maupun masyarakat. Dalam masyarakat, perempuan kurang mendapat tempat pada kedudukan yang penting. Perempuan dianggap memainkan peranan penting di sektor rumah tangga mengakibatkan mereka mempunyai beban ganda dan tanggung jawab yang penting. Akibatnya perempuan perlu bekerja keras untuk memenuhi tuntutan dan tanggung jawab tersebut. Implikasi daripada hal ini terciptanya kesenjangan gender iaitu tata nilai sosial budaya masyarakat umumnya lebih mengutamakan lelaki daripada perempuan (ideologi patriarki) (Louse Lamphere 1997 ; 82).
Wujudnya kesenjangan gender ini maka timbulnya pengertian kesetaraan dan keadilan gender. Kesetaraan gender bererti kesamaan keadaan bagi laki-laki dan perempuan untuk memperolehi kesempatan serta hak-haknya sebagai manusia, agar mampu berperanan dan berpartisipasi dalam kegiataan politik, undang-undang, ekonomi, sosial budaya, pendidikan, dan keselamatan. Kesetaraan gender juga meliputi penghapusan diskriminasi dan ketidak adilan baik terhadap laki-laki maupun perempuan. Keadilan gender adalah suatu proses dan perlakuan adil terhadap perempuan dan laki-laki. Dengan keadilan gender bererti tidak ada diskriminasi dan kekerasan terhadap perempuan maupun laki-laki. Wujudnya kesetaraan dan keadilan gender dapat dilihat dengan hilangnya diskriminasi antara perempuan dan laki-laki, dan mereka mempunyai peluang untuk menikmati dan memperolehi manfaat yang sama dalam kehidupan.
Ideologi gender menekankan penguasaan laki-laki terhadap perempuan, telah menjadi warisan dan perempuan dijadikan objek oleh golongan lelaki sebagai tempat untuk memenuhi kehendak lelaki. Ideologi gender mempunyai hubungan dengan sistem sosial, budaya, dan politik, bahkan ada yang mengaitkannya dengan pandangan keagamaan. Sungguhpun demikian, perempuan memandang ideologi gender sebagi suatu kudrat yang tidak mengundang masalah. Posisi perempuan yang dalam ideologi gender merupakan subordinasi lelaki diterima sebagai suatu kewajaran. Sehubungan itu, penggugatan atau pengukuhan ideologi gender dalam novel yang dikaji akan terlihat melalui peranan dan tindakan watak-watak lelaki yang ada dalam novel. Sehubungan dengan topik penelitian ini, perwatakan yang terdapat di dalam novel akan dipandang dalam perspektif gender. Hujah ini diperkuatkan sebagaimana yang ditanggapi oleh Lizbeth Goodman (1996 ; vii) ;
“So, when we refer to the study of literature and gender, we don’t just mean literary analysis of texts with regard to the sex (female or male) or sexuality of authors, but the wider study of literary texts as they are written, read and interpreted within cultures, by women and men. We are all aware of some degree of cultural stereotyping about gender”

Menurutnya lagi “if we read with concern for identifying assumptions and streotypes about gender, we learn about society as well as about literature” (1996 ; vii).
Untuk mengkaji perhubungan gender yang wujud dalam masyarakat Minangkabau, maka aspek adat, budaya dan agama dalam masyarakat Minangkabau perlu difahami.Aspek-aspek tersebut dapat dilihat berdasarkan pelukisan imej lelaki oleh pengarang, sama ada positif atau negatif. Ini menunjukkan watak lelaki dipaparkan oleh pengarang dengan pelbagai ragam. Berdasarkan pernyataan ini, watak lelaki sebagaimana yang terdapat dalam novel-novel pengarang Minangkabau terdiri daripada dua golongan iaitu golongan yang berusaha untuk menempatkan dirinya sebagaimana yang sudah ditentukan dan juga watak yang tidak dapat atau gagal menempatkan dirinya sebagaimana yang sudah ditentukan mengikut adat, budaya, dan agama.
Pandangan Lizbeth Goodman (1996 ; vii) tentang perhubungan gender yang tercetus daripada faktor sosial dan bukan berdasarkan sifat biologi adalah wajar. Sungguhpun lelaki dan wanita berbeza dalam aspek biologi, namun sikap dan perlakuan manusia banyak dicorakkan oleh ciri-ciri budaya dan persekitaran dan untuk mengkaji perhubungan gender yang wujud pengetahuan yang berkaitan dengan adat, budaya dan agama penganutnya perlu diketahui secara mendalam Apabila membincangkan perhubungan gender dengan kedudukan lelaki Minangkabau, sistem keagamaan khususnya Islam perlu disentuh kerana agama merupakan isu yang memberikan impak yang mendalam terhadap masyarakat Minangkabau. Tentang kedudukan lelaki menurut al-Quran telah menerangkan bahawa, “Lelaki adalah pemimpin kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka” (1979 : Surah al-Nisa’, 34)
Watak sebagai individu dapat dilihat berdasarkan peranan atau ciri-ciri umum seperti umur, jantina, penampilan dan kepribadian watak (sikap dan sifat watak). Sebagaimana dalam kehidupan nyata, individu secara normal hidup dalam kelompok yang memiliki persamaan dalam beberapa hal. Seterusnya, dalam kelompok mana watak tersebut mengikatkan dirinya dan apakah faktor-faktor daya pengikat kepada kelompok tersebut dan ciri-ciri yang bagaimana ditampilkan watak-watak tersebut (Maria 2006;15).
Selain itu, interaksi watak dengan watak yang lain juga dapat diliahat. Proses perkembangan manusia manusia pada umumnya dapat dititinjau dalam tiga aspek iaiatu individu, keadaan sosial dan latar sosial tempat watak itu hidup. Pembahasa ini akan dilihat dalam ketiga-tiga aspek tersebut. Dalam konteks sosial misalnya situasi kehidupan atau keadaan kehidupan watak misalnya kekayaan, kemiskinan, sekolah dan lain-lain. Lingkungan atau situasi kehidupan sosio ekonomi kelompok tempat watak menjadi anggota misalnya tempat tinggal, kota atau kampung, kedudukan dan tingkat sosial. Dalam sistem kemasyarakatan pula termasuklah tingkat sosial-ekonomi, kemakmuran dan kemiskinan. Hasil pengamatan yang dilakukan oleh pengkaji berkaitan latar sosial boleh membantu untuk mendapatkan gagasan-gagasan yang disampaikan pengarang.

1.6 Kajian Lepas

Kajian yang berkaitan dengan novel-novel Indonesia sebelum perang dan dapat dijadikan sumber rujukan yang penting termasuklah daripada John Frederick Penbrook (1979). Beliau telah mengkaji empat buah novel penting yang diterbitkan pada tahun 1920 – 1942 di Indonesia. iaitu Sitti Nurbaya (Marah Rusli), Salah Asohan (Abdul Moeis), Layar Terkembang (Sutan Takdir Alisjabana) dan Belenggue (Armijn Pane). Tesis tersebut bertitik tolak dengan masyarakat dalam cerita rekaan dapat dianggap sebagai keseluruhan sumber data-data sosial. Setelah beliau mengkaji berkaitan tentang adat Minangkabau, masyarakat Minangkabau dan novel Minangkabau, tesis ini menyimpulkan bahawa isi dua novel pertama iaitu Sitti Nurbaya dan Salah Asohan dapat diterima sebagai sumber-sumber data sosial sebab dua novel ini memberi gambaran kebenaran dan kejujuran dari kehidupan keluarga Minangkabau berdasarkan tahun tersebut. Bagaimanapun, dua novel yang seterusnya iaitu Layar Terkembang dan Belenggue tidak dapat diterima sebagai sumber data yang betul dari keterangan sosial yang sebenarnya kerana pengarang novel tersebut telah menterjemahkan latarbelakang dari kebebasan dan proses urbanisasi. Watak-watak yang terdapat dalam novel tersebut juga dikembangkan sama dengan novel-novel barat.
Lukman Ali (1994) membuat kajian unsur adat Minangkabau dalam Sastra Indonesia (1922 – 1956). Sembilan dari empat belas novel yang bicarakan dalam kajian ini membawakan soal kahwin paksa tetapi hanya lima di antaranya yang berlaku dalam lingkungan kekuasaan mamak dan ibu. Perkahwinan antara orang ‘sepesukuan’ telah menimbulkan konflik antara adat dan agama. Persoalan adat yang dibicarakan dalam kajian ini adalah persoalan adat Minangkabau. Karya-karya sastera yang mengandungi unsur-unsur adat Minangkabau terbit berturut-turut antara tahun 1922 – 1940 kecuali novel Anak dan Kemenakan yang terbit dalam tahun 1956. Dalam tahun 1922 – 1940 pengarang Minangkabau menggarap persoalan adat dari sumber adat yang dipegang oleh masyarakat Melayu Minangkabau. Menurut Lukman Ali, peristiwa yang terdapat dalam novel ini membenarkan kepada masyarakat sebagai suatu hasil sastera dari suatu zaman dan situasi.
Yasril Yazid (1999) membuat kajian berkaitan sistem nilai yang wujud dalam roman-roman sastera Hamka. Kajian ini mengambil tiga roman Hamka yang dianggap paling representatif bagi pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran kritis Hamka tentang praktik adat matrilinial di Minangkabau iaitu, roman Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (1938), Merantau ke Deli (1939) dan Dijemput Mamaknya(1949). Kajian yang menggunakan ‘metod historical factua’ dan metod diskriptif analitik ini mendapati bahawa dalam roman Hamka wujud pertentangan antara nilai-nilai adat dan nilai-nilai dakwah Islamiah, khasnya dalam masalah kekerabatan, masalah perkahwinan dan mengenai masalah harta pusaka di Minangkabau. Walaupun dalam proses perkembangannya sekarang adat Minangkabau cenderung ke arah sistem Islam yang berfahamkan sistem kekerabatan patrilinial, tetapi belumlah dalam ertian yang murni, sebab masih berlakunya perkara-perkara yang menyimpang dari ketentuan ajaran Islam, sebagaimana terlihat dalam masalah pembahagian harta pusaka.
Kajian yang dilakukan oleh Faruk (1999) ialah untuk melihat mengapa novel Sitti Nurbaya lebih menonjol daripada karya-karya sezaman dengannya. Untuk menjawab pertanyaan tersebut, beliau menggunakan teori teori strukturalisme-genetik dan semiotik yang dianggap antara kedua teori tersebut saling menyempurnakan. Sebagai karya sastera yang besar Sitti Nurbaya mempunyai suatu struktur yang merupakan aktualisasi dari sistem semiotik masyarakat adat pengarangnya dan struktur kategori kelompok sosial tertentu yang menjadi subjek kolektif penciptanya. Dengan kata lain, struktur novel itu signifikan baik bagi sistem semiotik maupun sistem masyarakat asalnya
Kajian yang dilakukan oleh Teeuw (1977) berkaitan citra manusia dalam novel-novel Indonesia Moden diarahkan kepada lima hubungan manusia di dalam kehidupan manusia secara pribadi. Kelima hubungan manusia yang memperlihatkan citra manusia adalah citra manusia dalam hubungan manusia dengan Tuhan, citra manusia dalam hubungan manusia dengan alam, citra manusia dengan masyarakat, citra manusia dengan orang lain dan citra manusia dalam hubungan manusia dengan diri sendiri. Amran Tasai et al. (1997) melalui kajiannya mejelaskan bahawa pada tahun 1929-an manusia terlihat lebih banyak berpasrah diri kepada Tuhan dalam menghadapi pelbagai masalah hidup sehingga kesengsaraan juga merupakan kehendak dari Yang Maha Kuasa. Pada tahun 50-an citra yang tampak pada manusia adalah citra yang tidak mahu mengakui adanya Tuhan. Citra manusia dalam hubungannya dengan alam memperlihatkan manusia yang menginginkan keindahan alam, manusia yang melindungi dan memelihara alam dan manusia yang tidak mempedulikan alam. Citra manusia dalam hubungan manusia dengan masyarakat diperlihatkan citra manusia pelopor, citra manusia yang bertanggung jawab, citra manusia yang menginginkan perubahan dan citra manusia yang patuh kepada adat. Citra manusia dalam hubungan manusia dengan manusia lain adalah citra manusia yang inginkan cinta, citra manusia yang mementingkan persahabatan, citra manusia yang berlaku curang dan citra manusia yang derhaka kepada orang tua.
Kajian yang berkaitan dengan imej manusia dalam sastera dilakukan oleh A. Wahab Ali (1989). Beliau menggunakan teks-teks novel Melayu antara tahun 1960-1969. Beliau telah menggolongkan watak-watak dalam novel kajiannya kepada beberapa golongan besar iaitu watak pemimpin, watak wanita, watak petani dan nelayan, watak manusia bukan Melayu dan watak manusia kerdil. Dasar penggolongan yang dipilih mempunyai keistimewaannya berbanding dengan dasar penggolongan lainnya. Menurutnya, penggolongan itu mudah, menarik, dan dapat menggambarkan imej manusia yang timbul dari kehidupan sebagaimana yang terdapat dalam novel-novel pilihan itu.
Tulisan yang berkaitan dunia lelaki dan perempuan dalam novel-novel Indonesia dapat dilihat berdasarkan tulisan Umar Junus (1984). Dalam tulisannya beliau mengemukaan kepada tiga bahagian. Dalam bahagain pertama beliau menjelaskan bahawa novel-novel pada tahun 1920-an dengan dunia lelaki yang dominan; berkisar pada seorang tokoh perempuan yang dikelilingi oleh dua kuasa lelaki yang dominan dan ia merupakan tokoh yang tragik, ada semacam harapan yang berupa pelaksanaan dari kebebasan yang pada mulanya tidak dapat dicapai, ada suasana melankolik dan romantik, kerana kita diberi kesan bahawa tidak sedar telah menjadi korban dari suatu keadaan Kalau ada perkembangan, ia lebih terbatas kepada tokoh perempuan belaka. Tokoh lelaki hanya mempunyai kualiti tertentu sahaja.
Sapardi Djoko Damono (1979) juga membuat kajian berkaitan novel-novel sebelum perang di Indonesia. Kajian ini membicarakan tentang perkembangan novel Indonesia sejak tahun 1920-an sampai tahun 1940. Perkembangan yang dibicarakan terutama sekali yang menyangkut hubungan antara unsur-unsur formalnya dan situasi sosial yang telah melahirkannya. Kajian ini menekankan kepada keadaan penerbitan dan keadaan politik pada umumnya, dengan tidak meninggalkan keadaan kepengarangan yang erat hubungan dengan dunia penciptaan.
Lukman Ali (1994) membuat kajian yang berkaitan unsur Adat Minangkabau dalam Sastra Indonesia (1922 – 1956). Sembilan dari empat belas novel yang bicarakan dalam kajian ini membawakan soal kahwin paksa tetapi hanya lima di antaranya yang berlaku dalam lingkungan kekuasaan mamak dan ibu. Perkahwinan antara orang ‘sepesukuan’ telah menimbulkan konflik antara adat dan agama. Persoalan adat yang dibicarakan dalam kajian ini adalah persoalan adat Minangkabau. Karya-karya sastera yang mengandungi unsur-unsur adat Minangkabau terbit berturut-turut antara tahun 1922 – 1940 kecuali novel Anak dan Kemenakan yang terbit dalam tahun 1956. Dalam tahun 1922 – 1940 pengarang secara berganti-ganti menggarap persoalan adat dari sumber adat yang dipegang oleh masyarakat Melayu Minangkabau. Sumber-sumber adat yang dimaksudkan itu berkaitan dengan kebiasaan merantau, adat meminang, perkahwinan sesuku, soal keturunan, kebiasaan beristeri banyak, anggapan berkahwin dengan orang luar dan kahwin paksa dan hubungannya dengan adat. Menurut Lukman Ali, peristiwa yang terdapat dalam novel ini membenarkan kepada masyarakat sebagai suatu hasil sastera dari suatu zaman dan situasi.
Mursal Esten (1987) juga ada membuat kajian berkaitan tentang permasalahan masyarakat Minangkabau di dalam karya. Beliau menggunakan 6 buah novel dan satu buah cerpen yang ditulis oleh penulis Minangkabau. Novel-novel yang dikaji ialah Salah Asohan (1920), Siti Nurbaya (1979), Tenggelamnya Kapal van der Wijck (1977), Kemarau (1977), Warisan (1979) dan Bako (1983) manakala cerpen ialah Jodoh karya A.A Navis. Beberapa permasalahan khas Minangkabau menyangkut masalah perkahwinan, masalah harta pusaka, masalah kedudukan dan fungsi keluarga ibu (dalam hal ini kedudukan dan fungsi Mamak). Dari pengamatannya, beliau merumuskan bahawa permasalahan Minangkabau di dalam karya-karya sastera Melayu Indonesia itu kelihatannya mahu diangkat menjadi permasalahan-permasalahan Indonesia sebagai suatu masyarakat baru yang sedang tumbuh dan berkembang.
Kesemua tulisan di atas, walaupun ada yang di analisa secara sangat mendalam, namun demikian aspek lelaki Minangkabau belum dikaji secara menyeluruh. Dengan demikian suatu masalah yang dihadapi sekarang ialah belum adanya satu tulisan yang lengkap dan menyeluruh yang berkaitan dengan lelaki Minangkabau khususnya yang ditinjau dalam kajian novel. Kesannya, sehingga sekarang perbincangan yang berkaitan dengan lelaki Minangkabau belum ada secara lengkap. Kajian ini adalah kajian yang berbeza dengan kajian yang telah dilakukan sebelumnya. Kajian ini merupakan kajian yang khusus membahaskan kedudukan dan peranan lelaki Minangkabau yang mengamalkan sistem Matrilineal sebagaimana yang dipaparkan dalam novel-novel Minangkabau sebelum perang. Berdasarkan tinjauan kepustakaan, penulis yakin kajian ini belum pernah dilakukan oleh pengkaji lain.

1.7 Metodologi Kajian

Skop kajian yang menjadi fokus dalam kajian ini ialah novel-novel Minangkabau sebelum Perang Dunia Kedua iaitu pada tahun 1920 – 1941, terutama yang menampilkan kedudukan dan peranan lelaki yang mempunyai kepelbagaian perilaku.. Batasan kajian ini digunakan memandangkan pada zaman ini merupakan waktu awal kemunculan novel yang dihasilkan oleh pengarang Minangkabau dalam kesusasteran Indonesia. Pengertian yang berkaitan dengan imej adalah merujuk kepada citra, gambaran, cerminan, dan bayangan yang ditimbulkan oleh kata, frasa, atau kalimat. Pengertian ini merujuk sebagai keperibadian atau watak seseorang atau sesuatu, sebagaimana yang terpancar pada pandangan atau tanggapan orang atau pihak lain. Pengertian imej antaranya gambaran yang dimiliki orang tentang peribadi, perusahaan atau organisasi; kesan mental atau bayangan visual yang ditimbulkan oleh sesuatu kata, frasa atau kalimat dan merupakan unsur dasar yang khas dalam karya yang berbentuk prosa (Ahmad Kamal Abdullah & Siti Aisyah Murad 2000; ix). Imej lelaki bermakna citra atau gambaran watak dan perwatakan lelaki yang dibentangkan, dikemukakan dan dilukiskan oleh pengarang dalam novel mereka. Imej atau citra lelaki di sini bermaksud melihat gambaran watak lelaki Minangkabau dari segi fizikal, peranan dan penglibatannya sebagai tokoh yang mengerakkan cerita dalam novel. Penglibatan ini dapat dilihat dalam proses interaksinya sama ada dengan orang Minangkabau atau bukan Minangkabau. Penglibatan ini juga dapat dilihat berdasarkan hubungannya dengan sesama watak lelaki atau watak perempuan. Proses interaksi ini dapat dilihat berdasarkan tempat, masa dan kejadian atau peristiwa yang berlaku.
Istilah novel Minangkabau dalam kajian ini diertikan sebagai novel yang dihasilkan oleh pengarang Minangkabau yang berbicara tentang masyarakat Minangkabau dan Indonesia. Dalam kajian ini pengkaji hanya membincangkan watak-watak lelaki dan bagaimana watak-watak yang terdapat dalam isi sesuatu cerita itu memberi pengaruh atau kesan kepada watak lain sama ada watak lelaki atau perempuan. Kesan ini dapat dilihat dalam aspek positif atau negatif. Watak lelaki yang akan dianalisis hanya berkaitan watak lelaki Minangkabau.
Menurut A. Wahab Ali terdapat pelbagai dasar boleh digunakan untuk menggolongkan watak. Misalnya, berdasarkan agama, kaum, umur, kelas, pelajaran, pekerjaan, jantina, sifat-sifat watak dan ciri yang menarik sebagai kumpulan (A. Wahab Ali 1989 ; 22). Berdasarkan penelitian pengkaji, watak-watak yang terdapat di dalam novel pengarang Minangkabau sesuai ditinjau berdasarkan penggolongan jantina. Biasanya dalam novel terdapat dua watak yang sering diperbincangkan iaitu watak lelaki dan perempuan. Dalam novel pengarang Minangkabau watak lelaki dapat dibahagian kepada dua iaitu watak lelaki Minangkabau dan watak lelaki bukan Minangkabau. Maka, dalam kajian ini watak lelaki Minangkabau akan diberi fokus utama. Penggolongan watak lelaki Minagkabau boleh digolongan kepada kategori umur kepada watak kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Penggolongan dalam aspek pekerjaan termasuklah pekerjaan sebagai peniaga, kakitangan kerajaan, petani dan swasta. Watak lelaki Minangkabau boleh kategorikan kepada aspek pendidikan iaitu pendidikan agama, pendidikan Melayu atau Belanda dan tidak berpendidikan. Dalam penggolongan watak lelaki, kategori kelas boleh dibahagian kepada dua iaitu kelas biasa dan kelas bangsawan.
Walaupun terdapat pelbagai kategori watak lelaki Minangkabau boleh digolongakan namun demikian, fokus dalam kajian ini berkaitan dengan identiti lelaki Minangkabau kepada empat kategori iaitu;
i) Kedudukan dan peranan dalam institusi keluarga;
ii) Kedudukan dan peranan sebagai penjana ekonomi
iii) Kedudukan dan peranan sebagai agen perubahan pemikiran masyarakat
Iv) Kedudukan dan peranan dalam kepimpinan
Dasar penggolongan yang dipilih oleh pengkaji mempunyai keistimewaannya berbanding dengan dasar penggolongan lainnya. Pertama penggolongan ini mudah, menarik dan dapat menggambarkan kedudukan dan peranan lelaki Minangkabau dalam pelbagai aspek sebagaimana yang terdapat dalam novel. Imej lelaki
Tahun 1920 diambil sebagai tahun permulaan kajian novel disebabkan tahun ini dianggap sangat penting sebagai zaman awal pertumbuhan kesusasteraan Indonesia dan zaman awal terlibatnya pengarang Minangkabau dalam penulisan novel. Dari segi latar sosial pada masa ini terdiri daripada tiga jenis iaitu latar masyarakat tradisional, latar masyarakat transisi dan masyarakat moden. Masyarakat tradisional dianggap sebagai masyarakat yang masih terkebelakang terutama dari segi cara berfikir dan cara berpakaian dan tidak mementingkan pendidikan.. Masyarakat moden ialah masyarakat yang maju, befikiran secara matang, berpenampilan menarik dan mementingkan pendidikan. Masyarakat transisi adalah masyarakat yang masih mengamalkan gaya hidup tradisional dan juga moden.
Pengarang Minangkabau ialah pengarang yang dilahirkan dan dibesarkan dalam budaya Minangkabau. Novel yang akan dikaji ialah novel-novel yang membicarakan masalah budaya Minangkabau dalam masyarakatnya sendiri. Novel-novel yang dijadikan sumber rujukan hanya terbatas yang menggunakan tema, persoalan, watak, dan latar yang berkaitan dengan budaya Minangkabau dan hubungannya dengan masyarakat Indonesia..
Sumber data atau populasi penelitian ini adalah novel-novel yang ditulis oleh penulis Minangkabau sebelum Perang Dunia Kedua (1920 – 1941). Untuk memudahkan analisis, maka novel-novel ini akan dkaji mengikut urutan tahun diterbitkan iaitu novel yang terawal sebelum Perang Dunia Kedua hingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941. Daripada populasi ini sebanyak 10 buah akan dijadikan teks rujukan utama yang secara langsung atau tidak langsung menghadirkan watak lelaki Minangkabau yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dan perilaku watak. Novel-novel ini dapat dibahagikan dua bahagian iaitu zaman 1920 – 1929 dan 1930 – 1941.
Kategori novel zaman 1920 – 1929 ialah Sitti Nurbaya (Marah Rusli 1922)[3], Salah Asohan (Abdoel Moeis 1928)[4], Salah Pilih (N. Sutan Iskandar 1928)[5], dan Sengsara Membawa Nikmat (Tulis Sutan Sati Sengsara 1929)[6] dan novel yang dihasilkan pada tahun 1930 – 1941 ialah Dijemput Mamaknya (Hamka, 1930)[7], Karena Mentua, Nur Sutan Iskandar (1932), Nasib (Habib Soetan Maharadja 1932), Kalau Tak Untung (Selasih 1933), Pengaruh Keadaan (Selasih 1937), Tenggelamnya Kapal Van der Wijck
( Hamka 1938), Merantau ke Deli (Hamka 1939)[8], dan Kerana Anak Kandung (M. Enri 1940).[9]
Teks-teks yang dimaksudkan di atas merupakan teks yang paling penting untuk dikaji, namun demikian teks-teks yang lain tetap digunakan jikalau bersesuain dengan topik yang ingin dibincangkan. Teks-teks tersebut termasuklah Apa Dayaku Karena Aku Perempuan (Nur Sutan Iskandar 1922)[10], Melati Van Agam (Swan Pen 1923) [11], Pertemuan (Abas Sutan Pamuntjak 1927)[12], Tidak Membalas Guna (Tulis Sutan Sati 1932), Memutuskan Pertalian (Tulis Sutan Sati, 1932), Di Bawah Lindungan Kaabah (Hamka, 1938)[13], Pembalasannya (Saadah Halim 1938)[14], dan Tjintjin Setempel (Ardi Soma 1939)[15], Novel-novel yang digunakan untuk kajian ini sedapat mungkin akan diambil terbitan cetakan pertamanya. Walau bagaimanapun disebabkan beberapa kesulitan terpaksa digunakan cetakan ulang. Novel-novel yang dihasilkan oleh penulis Minangkabau sebahagian besarnya diterbitkan oleh Balai Pustaka.
Untuk menentukan pelakunya adalah berkaitan permasalahan Minangkabau dapat dilihat pada bahasa dalam dialog watak, latar tempat, latar budaya, agama dan sistem sosial yang dipegang dan juga nama watak itu sendiri. Novel-novel yang dipilih ini sering mendapat sorotan dan rujukan daripada sarjana sama ada dari dalam maupun luar negeri semenjak ia diterbitkan sehingga sekarang dan pernah diadaptasikan kepada filem.[16]
Kriteria pemilihan novel Minangkabau, bukan sahaja sesuatu cerita itu berlaku di Minangkabau tetapi boleh saja di luar Minangkabau, asalkan pelaku atau wataknya adalah yang berkaitan dengan orang Minangkabau sama ada yang berhubungan dengan sesama orang Minangkabau atau pun dengan orang bukan Minangkabau. Novel-novel yang dipilih mempunyai peranan dan kedudukan yang dianggap penting dalam perkembangan novel Indonesia sebelum perang. Peranan ini didasarkan kepada kedudukan novel ini berbanding novel-novel yang lain dan juga tema dan persoalan yang diungkapkan. Kesemua isi-isi utama yang diungkapkan dalam novel ini menyentuh berkaitan dengan isu lelaki Minangkabau. Kesemua karya di atas mendapat reaksi yang meluas. Sebagai contoh, Zuber Usman (1983 : 26) menganggap lahirnya novel Sitti Nurbaya, bermulanya sejarah baru dalam Kesusasteraan Melayu dan kemudiannya menjadi Kesusasteraan Indonesia. Teeuw (1980; 87) menganggap cerita dalam novel Siti Nurbaya sangat menarik bagi seseorang pembaca yang berfikir dan menilai sesuatu novel mengikut, (1993 ; 138) novel Sitti Nurbaya merupakan salah satu novel Indonesia yang paling banyak mengandungi erti, bila ditempatkan dalam satu perspektif sejarah sosial dan pandangan kelas (vision de classe).[17] Annas Hj. Ahmad (1975 ; 51) pula berpandangan bahawa novel Sitti Nurbaya telah memasuki zaman baru dan merupakan permulaan seni novel moden. Berdasarkan kepada pernyataan di atas menunjukkan bahawa hampir semua kritikus sastera Indonesia menempatkan novel Sitti Nurbaya sebagai karya yang sangat penting dalam sejarah kesusasteraan Indonesia. Novel Sengsara Membawa Nikmat dianggap karya yang paling bernilai dari karya Tulis Sutan Sati. Novel ini memperincikan tentang kehidupan masyarakat Minangkabau pada tahun 1920-an. Menurut Teeuw (1980 : 87) novel ini sangat menarik kerana hidup dan lincahnya si pengarang membawa pembaca ke dalam suasana desa Minangkabau dengan kejadian sehari-hari dan segala reaksi manusiawi.
Kehebatan pengarang-pengarang era sebelum perang telah terbukti melalui pelbagai pengiktirafan yang diterimanya sama ada di dalam ataupun di luar negara. Pada tahun 1969, novel yang terkenal iaitu Salah Asohan telah mendapat anugerah Hadiah Tahunan Pemerintah, bersama tiga novel lainnya, iaitu Sitti Nurbaya, Belenggu, dan Atheis. Di Malaysia, novel ini terbit dalam edisi bahasa Melayu dan menjadi buku bacaan wajib bagi pelajar yang menambil kesusasteraan Melayu diperingkat Sijil Tinggi Pelajaran (STP) pada tahun 60-an dan 70-an.. Pada Tahun 1991, (Televisyen Republik Rakyat Indonesia) TVRI menyiarkan filem yang berjudul ‘Sitti Nurbaya’ dengan watak utamanya ialah Novia Kolopaking(sebagai Sitti Nurbaya) dan Gusti Randa(sebagai Shmasulbahri) Pada tahun 1972, novel Salah Asuhan diadaptasikan kepada filem oleh Asrul Sani dengan Dicky Zulkarnain sebagai watak Hanafi. (Maman S. Mahayana et al. 1992; 60.)
Keistimewaan pengarang-pengarang sebagai sasterawan yang berbakat besar terbukti lagi apabila beberapa karya dihasilkan diterjemah ke beberapa bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan Cina. Menurut Liang Liji (1988), Salah Asohan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, dan merupakan novel terjemahan yang terlaris di China. Menurut Morimura Shigeru (1988), pensyarah dari Universiti of Foreign Studies, Salah Asohan sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Karya ini juga telah di ulang cetak beberapa kali jelas menunjukkan bahawa karya ini digemari oleh semua lapisan masyarakat sama ada dalam masyarakat pembaca biasa, pelajar sekolah, dan pengkaji sastera. Di Malaysia, pada tahun 1963, novel Sitti Nurbaya telah dicetak untuk kali yang ke-11. Novel Kalau Tak Untung pernah dicetak melebihi 15 000 naskah untuk cetakan ketujuh dan Pengaruh Keadaan pernah dicetak sebanyak 10 000 naskah pada tahun 1961 untuk cetakkan keempat (H. B Jassin 1983 ; 63).
Kesemua isi-isi utama yang diungkapkan dalam novel ini membicarakan tentang imej lelaki Minangkabau dalam pelbagai aspek sesuai dengan persoalan yang ingin dikaji terutama yang berkaitan dengan peranan lelaki dalam adat Minangkabau sama ada dalam aspek perkahwinan, dan kepimpinan. Sumbangan watak lelaki dalam memartabatkan kaum wanita dan konflik watak lelaki dalam adat matrilineal. Persoalan yang dibicarakan juga bersesuaian dengan pendekatan teori iaitu yang berkaitan dengan kajian gender.


1.8 Hipotesis

Berdasarkan kerangka penulisan meliputi permasalahan kajian, tujuan dan kepentingan kajian, metodologi kajian dan pendekatan teori, kajian ini akan dibuat berdasarkan hipotesis berikut;
a) Semakin kukuhnya institusi perkahwinan menunjukkan lelaki memahami kedudukan dan peranan masing-masing
b) Semakin tingginya kesedaran lelaki untuk menjana ekonomi keluarga maka status kehidupannya semakin dihormati dalam masyarakat.
c) Semakin tingginya kesedaran dikalangan lelaki bertindak sebagai agen perubahan masyarakat maka kedudukan dan peranan perempuan semakin dihormati,
d) Semakin ramai lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki ideal menurut adat Minangkabau maka institusi adat itu semakin kukuh.
Untuk menjawab hipotesis tersebut data-data akan dikumpulkan terutama dari teks kajian untuk menjelaskan hipotesis tersebut. Variabel yang akan dipilih berdasarkan kepada novel-novel yang dipilih dan dalam analisis tersebut penekanan yang akan diberi keutamaan ialah watak lelaki yang telibat dalam setiap novel iaitu siapa yang memainkan peranan penting adalam sistem adat matrilineal, bagaimana lelaki berusaha untuk meningkatkan martabat kehidupan golongan perempuan, ciri-cir yang bagaimana dapat dianggap sebagai lelaki ideal Minangkabau. Pertanyaan-pertanyan tersebut akan dapat mengukur atau menjawab hipotesis tersebut. Kesemua data-data yang terdapat dalam novel kajiam akan dikumpul dan dikelasifikasikan mengikut pembahagian yang tertentu. Seterusnya data-data tersebut akan dianalisis sesuai dengan pendekatan teori. Jawapan dari hipotesis ini akan dapat memberikan gambaran tentang kedudukan, peranan. ciri-ciri, dan fungsi lelaki Minangkabau berdasarkan kajian novel-novel Minangkabau sebelum Perang Dunia Kedua.

1.9 Kaedah Kajian

Metodologi merupakan cara kerja yang digunakan untuk memahami suatu objek yang menjadi sasaran ilmu yang digunakan dengan mempertimbangkan bentuk, isi dan sifat sastera sebagai subjek kajian (Suwardi 2003; 80). Metodologi yang dimaksud mengandungi dua pengertian iaitu objek yang terdapat dalam novel sesuai dengan persoalan kajian dan memahami realiti sosial yang berhubung dengan novel yang dikaji. Proses penelitian dapat dilakukan dengan analisis tematik, iaitu penelitian mengenai isi pokok cerita dan kemudian dihubungkan dengan perspektif masyarakat dan kebudayaan yang melatarbelakangi lahirnya karya. Ini bermakna pendekatan yang dilakukan merangkumi cara intrinsik dan ekstrinsik. Walaubagaimanapun, aspek watak dan perwatakan akan diberi tumpuan sesuai dengan matlamat kajian. Watak dan perwatakan yang terdapat dalam novel ini akan dianalisis sesuai dengan pendekatan gender terutama yang berkaitan dengan peranan dan kedudukan setiap watak yang dibincangkan sesuai dengan isi perbincangan.
Kajian ini akan menggunakan kaedah kualitatif. Sebahagian besar kajian ini akan terdiri menggunakan kaedah penyelidiakan di perpustakaan. Pengkaji akan melakukan kerja lapangan untuk mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan di pelbagai perpustakaan di Malaysia dan luar negeri untuk membolehkan penyelidik membuat satu tinjauan dan ulasan yang komprehensif tentang literatur yang relevan mengenai kajian ini serta untuk mengutip data-data sekunder mengenainya. Data utama ialah novel-novel yang akan dijadikan teks kajian dan juga novel-novel sezaman yang mempunyai kepentingan dalam kajian ini Data yang berkaitan dengan bidang kajian juga akan diperolehi untuk menambahkan kefahaman tentang aspek kajian ini. Data-data ini termasuklah data yang berkaitan dengan kajian sarjana-sarajana dari disiplin sosiologi, antropologi dan ekonomi yang membicarakan berkaitan dengan kedudukan dan peranan lelaki dalam masyarakat Minangkabau Bahan-bahan yang diperlukan termasuklah buku dan laporan penyelidikan. Selain itu bahan-bahan yang tidak diterbitkan termasuklah kertas-kertas seminar, akhbar-akhbar, serta maklumat-maklumat yang berkaitan dengan tujuan penelitian.
Pengkaji juga akan melakukan pemerhatian langsung, menjalankan interviu formal dan tak formal. Dalam metode ini pengkaji mempunyai dua peranan, iaitu akan bertindak sebagai salah seorang anggota kelompok masyarakat responden dan disisi lain akan bertindak sebagai pengkaji yang harus bertindak objektif. Dalam hal ini, pengkaji akan tinggal bersama-sama beberapa minggu dengan masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat sama ada di bandar dan juga desa. Tujuannya ialah untuk lebih menghayati segi-segi kehidupan dan pola berfikir masyarakat setempat sebagai bahan tambahan untuk menguatkan hujah-hujah yang akan dijelaskan.
Pengkaji akan mewancara dengan tokoh-tokoh budayawan dan orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang kajian ini. Pertanyaan dalam wawancara ini telah dirancang terlebih dahulu dan pertanyaan ini berkisar berkaitan tentang kedudukan dan fungsi lelaki Minangkabau. Tokoh-tokoh budayawan dan sasterawan yang sempat di wawanvara ialah Dr. Mochtar Naim, Wisran Hadi dan beberapa budayawan Minangkabau yang lain.
Kaedah penyelidikan ini menggunakan metode deskriptif iaitu proses penghuraian yang mendalam. Metode deskriptif digunakan untuk menggambarkan fakta-fakta, sifat-sifat serta hubungan antara fenomena yang diselidiki secara sistematik, aktual dan akurat dari sampel penelitian melalui persepsi yang tepat. Persepsi penelitian diarahkan kepada pemahaman gender berdasarkan pengamatan tekstual kehidupan sosial budaya sebagaimana yang digambarkan dalam karya. Pelaksanaan metode-metode deskriptif tidak terbatas kepada pengumpulan dan penyusunan data, tetapi meliputi analisis dan interpretasi tentang data tersebut.
Metode kualitatif merupakan suatu data-data yang diperolehi akan digunakan untuk memperlihatkan gambaran mengenai isi suatu dokumen. Data-data tersebut diambil, kemudian diklasifikasikan menurut kriteria atau pola tertentu, dan akan dianalisis atau dinilai sesuai dengan kajian yang diperlukan.
Pengkaji akan berusaha meneliti novel-novel yang dijadikan teks kajian sebagaimana yang dibincangkan dalam metodologi kajian dan analisis isi (content analysis) akan dilakukan. Penelitian analisis isi bermaksud suatu usaha untuk menganalisis dokumen untuk diketahui isi dan makna yang terkandung dalam dokumen tersebut. Pelaksanaan metode deskriptif melibatkan secara penyelidikan perpustakaan. Prosedur penelitian berdasarkan model analisis kontent terbahagi kepada tiga tahap iaitu pengadaan data, proses inferensi dan analisis dan validitas dan reliabilitas (Suwardi 2003 ; 164)
Dalam proses pengadaan data iaitu tahap pertama penentuan unit analisis akan dilakukan. Pengadaan data karya sastera akan dilakukan terutama melalaui pembacaan secara cermat. Sebagai pedoman dalam penulisan kajian ini, pengkaji akan membaca kesemua novel-novel pengarang Minangkabau dalam era 1920- 1941. Seterusnya penentuan sampel akan dilakukan. Hasil dari pembacaan secara umum ini pengkaji akan membuat semakan novel yang mana didapati sesuai untuk dijadikan teks utama kajian dan juga teks rujukan sampingan. Seterusnya pencatatan data akan dilaksanakan. Semasa pencatatan, data-data yang relevan akan diberi penekanan misalnya digaris bawahi dan data yang tidak relevan akan ditinggalkan.
Tahap kedua ialah inferensi dan analisis. Dalam melakukan inferensi, pengkaji perlu sensitif hal yang berkaitan dengan data. Inferensi selalunya berkaitan dengan makna simbolik teks sastera misalnya penarikan kesimpulam yang berupa abstrak. Selain itu, inferensi merujuk kepada pengkodean. Kode-kode setiap data merujuk kepada pengertian abstrak. Seterusnya, aspek analisis meliputi penyajian data dan pembahasan dilakukan secara kualitatif konseptual. Analisis data dihubungkan dengan konteks dan konstruk analisis. Konteks adalah hal yang berhubungan dengan struktur karya dan konstruk berupa bangunan konsep analisis. Konsep tersebut diharapkan akan dapat menyampaikan pengajaran secara komprehensif. Setelah pengkaji menetapkan novel yang dijadikan teks rujukan utama dan teks rujukan sampingan pengkaji akan menempatkan diri pengkaji sebagai ‘real reader’ iaitu pembaca yang sebenarnya. Maksudnya, pada waktu menghadapi sesuatu teks, pembaca sudah mempunyai bekal yang berkaitan dengan karya yang dibaca sama ada dalam aspek nilai-nilai sosiobudaya, norma sosial, dan sejarah yang dimanfaatkan dalam proses pembacaan. Ini bermakna dalam prose membaca teks tersebut akan terjadi interaksi dialog antara pembaca dengan teks yang dibaca dan akan memunculkan satu wawasan baru. Hasilnya akan memperlihatkan adanya aktiviti pembaca dalam menerima karya sastera. Pembaca akan memberikan tanggapan atau sambutannya terhadap karya sastera dengan adanya sentuhan estetika dari karya yang dibaca. Peranan pembaca yang terlihat dominan dalam komunikasi sastera memperlihatkan bahawa pendekatan terhadap karya sastera tidak dapat hanya hanya memperhatikan pada teksnya sahaja, tetapi harus memberi tempat pada peranan pembaca iaitu proses berinteraksi dengan teks sasteranya. Sejalan dengan pandangan ini faktor-faktor yang berhubungan dengan pembaca, tindakan pembacaan dan situasi pembaca memerlukan bantuan disiplin lain terutama dalam ilmu sejarah, antropologi, sosiologi, psikologi, budaya dan agama (Umar Junus 1985 ; 143).

Tahap ketiga ialah validitas dan reliabilitas. Penelitian sastera banyak menggunakan validitas semantik, iaiatu mengukur tingkat kesensitifan makna simbolik dengan konteks karya sastera dan konsep analisis. Reliabilitas yang digunakan adalah keakuratan iaiatu penyesuaian antara hasil penelitian dengan kajian pustaka yang telah dirumuskan. Pengkaji juga akan meneliti esei-esei atau buku-buku yang membicarakan budaya Minangkabau. Tujuan analisis ini dilakukan untuk mendapatkan konsep-konsep dasar yang bersifat teoritis, juga data-data sekunder yang terdapat dalam pelbagai bahan misalnya dalam buku-buku ilmiah, majalah, surat khabar, latihan ilmiah, tesis, disertasi, laporan penelitian dan internet. Teknik kajian ini dikenali sebaai teknik studi pustaka. Tujuannya untuk memperolehi sudut pandang yang lebih luas mengenai topik kajian. Novel-novel pengarang Minangkabau sebelum perang Dunia Kedua akan dianggap atau diperakukan sebagai sumber data primer.
Penelitian ini dilakukan di beberapa buah perpustakaan yang terkenal seperti Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dokumentasi Kebudayaan Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negeri Kelantan, Pusat Pendokumentasian Adat Minangkabau Padang Panjang, Sumatera Barat. Kesemua bahan-bahan kajian ini akan dimuatkan di dalam bibliografi.
Sesuai dengan tujuan kajian, maka kajian ini lebih bersifat penjelajahan dan deskriptif. Sifat penjelajahan bertujuan untuk mendalami pengetahuan tentang fenomena atau kejadian atau peristiwa terentu yang berkaitan denan lelaki Minangkabau sebagaimana yang digambarkan dalam teks kajian. Sifat deskriptif bertujuan mengambarkan sifat-sifat keadaan, gejala-gejala atau kelompok tertentu dalam masyarakat atau untuk menentukan kekerapan penyebaran sesuatu fenomena dengan maksud untuk mendalami pengetahuan mengenai masalah yang dikaji.
Bagi tahun pertama, penyelidikan akan lebih tertumpu pada kajian perpustakaan. Penyelidik akan membuat membuat kerja lapangan terutama untuk mendapatkan bahan-bahan primer dan sekunder. Pada hujung tahun kedua, diharapkan laporan awal tentang kajian ini dapat ditulis. Penyelidik merancang untuk menyiapkan seluruh kajian ini dalam penghujung tahun ketiga.




1.9 Organisasi Kajian

Keseluruhan tesis ini dibahagikan seperti berikut:
Pengenalan –.
Latar belakang dan sejarah novel Minangkabau.
Lelaki dalam sistem budaya Minangkabau.
Kedudukan dan peranan dalam institusi keluarga;
Kedudukan dan peranan sebagai penjana ekonomi
Kedudukan dan peranan sebagai agen perubahan pemikiran masyarakat
7. Kedudukan dan peranan dalam kepimpinan
8 Kesimpulan.











RINGKASAN KANDUNGAN TESIS

BAB I PENDAHULUAN
1.0 Pendahuluan 03
1.2 Persoalan Kajian 11
1.3 Tujuan Kajian 15
1.4 Kepentingan Kajian 16
1.5 Pendekatan Kajian 21
1.7 Kajian Lepas 26
1.8 Skop Kajian 34
1.9 Metodologi dan Kaedah kajian 42
1.10 Organisasi Kajian 33

BAB II LATARBELAKANG DAN SEJARAH NOVEL
MINANGKABAU
2.0 Pengenalan
2.2 Latarbelakang Kedudukan, Sosio-budaya dan Sejarah
Propinsi Sumatera Barat
2.4 Faktor-faktor Lahirnya Pengarang Minangkabau
2.6 Perkembangan Novel Pengarang Minangkabau


BAB III LELAKI DALAM BUDAYA MINANGKABAU
3.1 Pola Budaya Minangkabau
3.2 Kedudukan dan Peranan Lelaki dalam sistem matrilineal
3.3 Kedudukan dan Peranan Perempuan dalam sistem
Matrilineal

BAB IV KEDUDUKAN DAN PERANAN DALAM
INSTITUSI KELUARGA
4.1 Suami sebagai orang Semenda
4.2 Kedudukan dan peranan sebagai ayah
4.3 Kedudukan dan peranan sebagai mamak
4.4 Kedudukan dan peranan sebagai abang

BAB V KEDUDUKAN DAN PERANAN LELAKI SEBAGAI
PENJANA EKONOMI
5.1 Kedudukan dan Peranan sebagai Perantau
5.2 ‘Alam rantau’ memperkaya ‘alam Minangkabau’

BAB VI KEDUDUKAN DAN PERANAN LELAKI SEBAGAI AGEN
PERUBAHAN MASYARAKAT
6.1 Memartabatkan perempuan dalam bidang pendidikan
6.2 Memartabatkan perempuan dalam bidang ekonomi
6.3 Memartabatkan perempuan dalam bidang kepimpinan

BAB VII KEDUDUKAN DAN PERANAN DALAM KEPIMPINAN
7.1 Kedudukan dan Peranan ninik mamak
7.2 Kedudukan dan Peranan alim ulama
7.2 Kedudukan dan Peranan cerdik pandai

BAB X RUMUSAN DAN KESIMPULAN
[1] Orang-orang Minangkabau yang terkemuka termasuklah Abdul Muis, sebagai wartawan dan nasionalis; Chairil Anwar sebagai penyair, Prof Dr. Emil Salim sebagai ahli ekonomi dan bekas menteri Indonesia, Haji Agus Salim sebagai ulamak dan negarawan Indonesia, Sutan Sjahrir sebagai bekas perdana menteri Indonesia, Tan Malaka sebagai nasionalis, Adinegoro sebagai wartawan, Mohammad Hatta sebagai bekas naib presiden Indonesia.
[2] Muhammad Yamin dilahirkan di Sawahlunto, Sumatera Barat pada 23 Ogos 1903 dan meninggal di Jakarta pada 17 Oktober 1962. Mendapat pendidikan HIS (1918), Sekolah Pertanian Bogor (1923), AMS Yogyakarta (1927) dan tamat Sekolah Hakim Tinggi Jakarta (1932). Pernah menjadi Menteri Kehakiman Republik Indonesia (1951), Menteri Pengajaran, Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia (1953 – 1955) dan Ketua Dewan Perancang Nasional (1962). Lihat Pamusuk Eneste, Ikhtisar Kesusastran Indonesia Modern: Untuk SMA dan SMTA yang Sedarjat, Djambatan, Jakarta, 1988, hlm. 14. Lihat. juga Ajip Rosidi, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta, Bandung, 1986, hlm. 19.
[3] Cetakan pertama novel ini ialah pada tahun 1922.
[4], Teks yang digunakan dalam kajian ini ialah edisi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991. Cetakan pertama novel ini ialah pada tahun 1928.
[5], Cetakan pertama pada tahun 1928. Dalam kajian ini cetakan yang digunakan ialah yang kelapan belas..
[6] Teks yang digunakan ialah cetakan pada tahun 1991 (cetakan pertama 1929)
[7] Teks yang digunakan ialah cetakan ketiga.
[8] Hamka, Merantau ke Deli, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1970.
[9] M. Enri, Karena Anak Kandung, Balai Pustaka, 1940
[10], Apa Dayaku Karena Aku Perempuan, Jakarta, Cetakan pertama 1922.
[11], Melati Van Agam, Bintang Hindia, Welterreden, 1923,
[12] Teks yang digunakan cetakan ketiga 1956.
[13] Teks yang digunakan diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1976
[14] Teks yang digunakan ialah cetakkan pada tahun 1940.
[15] Teks yang digunakan ialah cetakkan pada tahun 1963
[16] Contohnya novel Siti Nurbaya telah diulangcetak sebanyak 20 kali, Salah Asohan 19 kali dan Salah Pilih sebanyak 11 kali dan Kalau Tak Untung sebanyak 25 kali. Novel Siti Nurbaya telah difilemkan pada tahun 1991 dan Salah Asohan pernah dijadikan layar perak pada tahun 1972. Lebih lanjut lihat Maman S. Mahayana, 1992.
[17] Konsep pandangan kelas (vision de classe) bererti bahawa seseorang pengarang sering, secara tidak sedar, hanya mengemukakan pandangan lingkungan atau golongannya. Perbezaan antara pandangan kelas dan pandangan dunia seorang seniman sering dikacaukan.

No comments: